Falsafah berbanding disiplin lain Falsafah Barat

Sains alamiah

Pada asalnya istilah 'falsafah' digunakan bagi semua usaha intelektual. Aristotle mengkaji apa yang sekarang digelar biologi, meteorologi, fizik, dan kosmologi, disamping metafizik dan etika. Malah dalam kurun ke-18 pun fizik dan kimia masih diklasifikasikan sebagai 'falsafah alamiah', yakni kajian alamiah yang bersifat falsafah. Hari ini bidang-bidang ini dirujuk sebagai sains, dan sebagai terasing daripada falsafah; namun perbezaan ini tidak jelas dan beberapa ahli falsafah masih berpegang bahawa sains tetap mempunyai kaitan kepada falsafah yang tidak terputus dan yang tidak boleh diputustakan.

Kebelakangan ini bidang-bidang psikologi, ekonomi, sosiologi, dan linguistik yang pada suatu masa dahulu merupakan sebahagian bidang falsafah , tetapi sekarang hanya memiliki pertalian lemah dengannya. Lewat dalam abad ke-20 sains kognitif dan kecerdasan buatan boleh dikatakan dibina sebahagianya daripada 'falsafah minda'.

Apa jua sifat atau kajian yang dijalankan falsafah, pada amnya ia dilakukan secara lebih 'mujarad' (abstrak) daripada kebanyakan sains alamiah. Ia tidak bergantung kepada pengalaman dan uji kaji, dan tidak menyumbang secara langsung kepada teknologi. Adalah menjadi kesilapan jika falsafah dikaitkan dengan sains alamiah; sama ada ia boleh dikaitkan dengan sains dalam erti kata meluasnya masih dibahaskan.

Teologi dan kajian keagamaan

Kebanyakan kajian keagamaan, seperti juga falsafah, bukan merupakan kajian yang menggunakan eksperimen. Beberapa bahagian teologi, termasuk persoalan berkaitan kewujudan dan sifat tuhan-tuhan dengan jelas beritndih dengan falsafah keagamaan. Aristotle menganggap teologi sebagai sebahagian metafizik, bidang utama falsafah, ramai ahli falsafah sebelum abad ke-20 menghabiskan banyak masa menangani soaln-soalan teologi. Jadi terdapat kaitan antara dua bidang ini. Akan tetapi terdapat bahagian-bahagian lain kajian keagamaan, seperti kajian antara agama, yang dapat dibezakan daripada falsafah sama seperti sains sosial lain dapat dibezakan daripada falsafah. Bidang-bidang sains sosial ini lebih mirip sejarah dan sosiologi, dan melibatkan pemerhatian khusus terhadap kejadian tertentu, dalam kes ini pengamalan agama.

Tradisi 'Empiricist' ('aliran Empiris') dalam falsafah moden berpegang pada pendapat bahawa soalan-soalan keagamaan berada di luar linkungan pengetahuan manusia, dan ramai yang menyatakan bahawa bahasa keagamaan tidak membawa makna: tidak terdapat soalan yang perlu dijawab. Ada pula ahli falsafah yang berpendapat bahawa kemusykilan dalam mendapatkan bukti tidak relevan, dan mengutarakan hujah yang menyokong, menentang, ataupun hanya tentang kepercayaan agama atas dasar moral atau dasar lain. Walau apapun, tidak ramai ahli falsafah kini yang mengkaji soalan-soalan keagamaan.

Matematik

Matematik menggunakan kaedah pembuktian yang khusus dan ketat yang jarang digunakan ahli falsafah. Kebanyakan falsafah ditulis dengan prosa biasa, dan mahupun ia cuba menjadi persis, lazimnya ia tidak dapat mencapai kepersisan matematik. Hasilnya, ahli matematik jarang bertelagah tentang keputusan, sementara ahli falsafah sudah tentunya bertelagah tentang hasil kerja mereka dan kaedah falsafah yang digunakan.

Falsafah matematik ialah satu cabang falsafah sains; tetapi dalam banyak rupa matematik mempunyai pertalian yang istimewa dengan falsafah. Ini kerana kajian logik merupakan satu bidang utama dalam kajian falsafah, dan matematik merupakan contoh paradigma bagi logik. Kajian logik banyak berkembang dalam abad-abad ke-19 dan ke-20, matematik dibuktikan boleh dikurangkan ke tahap logik (sekurang-kurangnya kepada logik tertib pertama dengan teori set). Penggunaan logik formal matematik dalam falsafah sekarang ini menyerupai penggunaan matematik dalam sains, mahupun ia tidak kerap berlaku.